Shawl, Tudung Bawal
Tips Penjagaan Tudung Supaya Tahan Lama
Bagi para wanita dan gadis bertudung, pasti anda mempunyai pelbagai koleksi tudung yang pelbagai dan warna. Koleksi tudung anda yang banyak itu perlu disimpan dengan rapi agar kekal seperti baru dan tidak rosak. Penyimpanan dan penjagaan tudung bergantung pada jenis kain. Ada jenis fabrik yang lembut seperti chiffon memerlukan lebih penjagaan rapi. Pasti anda tidak suka apabila tudung kesayangan anda luntur warna atau rosak. Usah gusar, di sini kami dikongsikan tips penjagaan tudung supaya tahan lama, sesuai buat anda si gadis berhijab.
Jangan cuci tudung menggunakan mesin basuh
Elakkan mencuci tudung dengan mesin basuh kerana ia boleh merosakkan tudung. Kain tudung yang lembut boleh rosak jika dicuci dengan mesin basuh bersama baju lain. Ia juga boleh berubah warna jika dicampur bersama pakaian lain. Semasa membeli tudung, label pada tudung ada menyatakan cara mencuci tudung. Tidak perlu dibasuh dengan mesin basuh, cukup sekadar menyental atau meramas tudung dengan tangan. Jika tidak sempat dan anda terpaksa cuci tudung dengan mesin basuh, masukkan tudung ke dalam beg berjaring sebelum dimasukkan ke dalam mesin.
Jangan sental dengan kuat
Bagi menjaga kualiti tudung anda dari cepat rosak, sebaiknya cuci tudung dengan menyental menggunakan tangan atau diramas dengan lembut. Tidak perlu untuk disental dengan kuat kerana boleh menyebabkan benang pada fabrik terputus lalu menyebabkan tudung rosak. Jika mempunyai kotoran, boleh digosok perlahan-lahan menggunakan berus.
Hilangkan kesan peluh pada tudung
Ramai wanita menghadapi masalah ini terutamanya tudung dan shawl dari jenis chiffon. Bagi menghilangkan kesan peluh pada tudung, cukup sekadar meletakkan baking soda pada bahagian tudung yang terdapat kesan peluh menggunakan berus gigi. Kemudian, rendam tudung ke dalam air suam yang dicampur dengan sedikit sabun pencuci. Selepas itu, bilas dan sidai.
Gunakan pelembut fabrik
Selepas tudung dicuci dengan tangan, rendam tudung anda dalam campuran air bersama pelembut fabrik selama 10-15 minit. Kemudian, bilas tudung dengan air bersih dan pastikan tiada kesan sabun atau pelembut fabrik melekat pada tudung.
Elakkan cahaya matahari terik
Jangan sidai tudung anda di bawah cahaya matahari terik. Ini kerana ia boleh merosakkan tudung dan menyebabkan warna tudung cepat pudar. Cukup sekadar sidai di tempat redup dan tidak terkena cahaya matahari terik.
Gosok tudung dengan suhu yang sesuai
Dengan jenis pelbagai jenis fabrik tudung, suhu berbeza diperlukan untuk menggosok tudung. Bagi jenis tudung yang lembut seperti chiffon dan silk, gunakan suhu yang rendah bagi mengelakkan tudung rosak atau terbakar. Bagi tudung tebal seperti bawal cotton atau shawl pashmina, gunakan suhu yang sesuai. Bagi tudung yang mempunyai batu atau hiasan, gosok tudung anda secara terbalik bagi mengelakkan batu dan hiasan itu tercabut.
Penyimpanan tudung dengan betul
Ada banyak cara bagi penyimpanan tudung dengan betul, bergantung pada jenis fabrik tudung. Anda boleh menggunakan penyangkut khas untuk menggantung shawl. Bagi tudung bawal, lipat dan susun dengan rapi dalam laci mengikut jenis fabrik atau warna. Bagi tudung sarung atau instant shawl, sebaiknya digantung bagi mengekalkan bentuk awning.
Demikian adalah beberapa tip penjagaan tudung yang anda boleh amalkan. Diharapkan ianya dapat membantu anda menjaga tudung supaya tahan lama dan kekal seperti baru. Anda boleh lihat beberapa koleksi tudung yang cantik dan menarik mengikut citarasa anda.
Comments are closed