Shawl, Tudung Bawal, Tutorial
Tips Pemilihan Tudung Dan Shawl Untuk Kegunaan Harian
Si gadis anggun, manis bertudung seringkali mencuri tumpuan ramai. Penampilan bertudung yang kemas dan elegan boleh memberikan keyakinan dan keselesaan pada si pemakai. Cara dan gaya tudung dan shawl dipakai juga penting bagi memastikan penampilan anda kemas dan rapi. Ia melambangkan keperibadian dan personaliti anda secara tidak langsung. Oleh itu, pemilihan tudung dan shawl yang tepat perlu dititikberatkan. Terdapat pelbagai faktor yang boleh dipertimbangkan dalam membuat pemilihan. Berikut adalah tips pemilihan tudung dan shawl untuk kegunaan harian anda.
Jenis kain
Di pasaran, terdapat pelbagai jenis kain tudung dan shawl yang ditawarkan. Sebelum membeli, pastikan kain tudung yang dipilih memberikan keselesaan pada anda. Pilih jenis fabrik yang selesa seperti kain kapas, chiffon, satin atau lycra, mengikut kesesuaian dan citarasa anda. Bagi anda yang gemarkan gaya ringkas dan mudah, tudung dan shawl dari kain kapas sesuai untuk anda. Manakala kain chiffon pula mempunyai tekstur yang lembut, ringan dan beralun. Cuaca juga perlu diambil kira dalam memilih jenis kain tudung.
Bentuk muka
Bentuk muka juga mempengaruhi gaya pemakaian tudung. Kadangkala, ada jenis tudung yang nampak cantik pada seseorang tetapi tidak pada kita. Ini kerana bentuk muka yang berbeza memberikan efek tudung yang berbeza. Sebagai contoh, tidak semua orang sesuai memakai tudung Syria. Oleh itu, ketahui bentuk muka anda dan pilih jenis tudung yang sesuai mengikut citarasa anda.
Corak tudung
Tudung dan shawl bermotif kini menjadi trend hijabis. Sebaiknya, pilih tudung yang corak tidak terlalu banyak atau besar dan susunannya yang berselerak. Tudung yang mempunyai corak besar dan banyak akan menyebabkan anda kelihatan terlalu sarat dan crowded. Apatah lagi untuk kegunaan seharian, eloklah memilih corak tudung yang simple dan cantik. Tudung dan shawl yang polos juga sangat sesuai untuk dipakai ke mana sahaja, dipadankan dengan apa jua baju.
Warna
Pemilihan warna juga perlu dititikberatkan dalam memilih tudung dan shawl. Bagi gadis seperti anda, elakkan memakai warna tudung yang kusam atau gelap kerana ia akan menjadikan anda kelihatan tua. Pilihlah warna yang ceria seperti merah jambu, ungu atau biru. Selain itu, anda juga boleh memilih tudung dari warna earthy tones, seperti dusty pink, nude brown dan ashy gray. Ia mudah dipadankan dengan pelbagai warna baju.
Saiz ukuran
Bagi anda yang inginkan gaya muslimah, pastikan ukuran tudung memenuhi kehendak anda. Terdapat pelbagai saiz dan ukuran tudung serta shawl yang terdapat di pasaran. Sebelum membeli, pastikan tudung yang anda pilih mengikut ukuran yang sesuai. Bagi tudung bawal, pilih tudung mengikut saiz bidang yang diingini samada bidang 45, bidang 50 atau bidang 60. Bagi shawl, pastikan panjang shawl sesuai dengan citarasa anda.
Pakaian
Setiap tudung yang dipilih, harus mengikut jenis pakaian anda. Jika anda memakai baju bermotif, padankan dengan tudung polos yang berlainan rona. Jika pakaian anda polos, padankan dengan tudung bercorak yang mempunyai rona warna seakan dengan baju supaya matching. Namun begitu, baju plain juga boleh dipadankan dengan tudung polos, jika anda bijak bermain dengan warna.
Dengan tips pemilihan tudung dan shawl ini, anda boleh bergaya dengan lebih yakin dan elegan. Tidak perlu gusar dengan penampilan anda, malah anda akan lebih berketrampilan sebagai muslimah dengan memakai tudung labuh beraneka corak serta patuh syarak.
Leave a reply